Thursday 6 December 2012

AKHLAK : TUJUAN IBADAH

     Dalam Islam, akhlak itu tujuan ibadah. Jika ibadah itu umpama pokok, akhlak itu buahnya. Tanpa akhlak yang baik, ibadah yang dilaksanakan tidak mempunyai apa-apa nilai sepertimana menamam pokok yang tidak berbuah.
     Bukankah tujuan menanam pokok adalah untuk mendapatkan buahnya?  Maka begitulah juga ibadah, tujuannya adalah untuk melahirkan akhlak yang baik. Analisis contoh berikut :-

SOLAT

Solat yang khusyuk akan mencegah perbuatan fahsha' dan mungkar. Firman Allah yang bermaksud :
       "Sesungguhnya solat akan mencegah daripada perbuatan fahsha' dan mungkar".                            ( Surah al-'Ankabut 29 : 45 )
Kesan khusyuk dalam solat itu boleh dilihat kesannya di luar solat.

PUASA

Puasa akan rosak jika disertakan dengan perbuatan mengumpat dan bertengkar. Rasulullah mengingatkan , mafhumnya : " Jika kamu diajak bertengkar , maka katalah aku sedang berpuasa".
( Riwayat al-Bukhari)

HAJI

Ibadah haji akan tercemar jika dilakukan tanpa meninggalkan perbuatan mengata dan bertikam lidah.
Allah berfirman yang bermaksud : " Sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafath ( mencarut ) , berbuat fasiq dan berbantah-bantah semasa mengerjakan haji". ( Surah al-Baqarah 2 : 197 )

SEDEKAH

Sedekah akan terbatal pahalanya jika diiringi sikap mengungkit-ungkit dan menyakiti hati orang lain. Firman Allah yang bermaksud : "Jangan kamu rosakkan sedekah kamu dengan perbuatan mengungkit dan menyakiti". ( Surah al-Baqarah 2 : 264 )

     Tegasnya, keakraban hubungan seseorang dengan Allah ( takwa ) akan memberi kesan baik ( akhlak ) kepada hubungannya sesama manusia. Jika ini tidak berlaku, pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungannya dengan Allah itu, sama ada dia beribadah kerana berpura-pura, riyak, ujub, sum'ah atau sebagainya.

No comments:

Post a Comment